SUKATAN PELAJARAN



PENDAHULUAN

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد
وعلى آله وأصحابه أجمعين

Menyedari akan hakikat bahawa Islam itu merangkumi keseluruhan cara hidup dan amalan setiap detik bagi seorang muslim, maka Pendidikan Islam menekankan aspek ilmu, amalan dan penghayatan. Murid diberi pengetahuan dan kefahaman yang mendalam serta mencukupi tentang pelbagai persoalan dan isu kehidupan yang luas bagi mencorak dan mempengaruhi budaya serta cara hidup masyarakat dan umat Islam. Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam KBSM ini, hendaklah diajar dengan tulisan Jawi. Bidang-bidang pembelajaran hendaklah diolah dan disampaikan dengan berkesan melalui cara yang lebih menarik dan sentiasa dikaitkan dengan pelbagai aspek ilmu dan amalan yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan secara meluas, mampu mengubah dan membangunkan diri sendiri serta masyarakat yang mempunyai daya fikir yang cemerlang, berakhlak mulia, bersefahaman, bersyukur dan bersatu padu. Pengolahan yang demikian rupa hendaknya mampu menghasilkan tamadun ummah yang tinggi serta dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara.

Nilai-nilai daripada mata pelajaran lain seperti Sains, Geografi, Sejarah dan Matematik juga perlulah direntas supaya wujud kesepaduan daripada pelbagai ilmu yang diperolehi di sekolah menengah. Melalui pendekatan ini, cita-cita untuk melahirkan insan harmonis, seimbang dan bertaqwa akan tercapai.

MATLAMAT

Matlamat Pendidikan Islam adalah untuk menghasilkan muslim yang berilmu,beriman, berketerampilan, beramal soleh, beradab dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai hamba dan khalifah Allah yang bertaqwa dan menyumbang kepada tamadun bangsa dan negara.

OBJEKTIF

Setelah mempelajari Pendidikan Islam Bersepadu Sekolah Menengah murid dapat :-

1. Membaca ayat-ayat terpilih daripada al-Quran dengan betul, fasih,mahir dan bertajwid, untuk memperkukuhkan minat dan amalan membaca al-Quran.

2. Menghafaz ayat-ayat al-Quran yang terpilih untuk menambah bacaan dalam solat dan amalan ibadah harian.

3. Memahami maksud beberapa ayat al-Quran dan Hadis yang dipelajari serta menghayati pengajarannya sebagai sumber hukum dan panduan mukmin.

4. Memantap keyakinan pegangan akidah Islamiah serta menghidupkan konsep tauhid secara sedar dalam keseluruhan amalan dan menjadi benteng keagamaan.

5. Memperkukuh dan mempertingkat amalan ibadat-ibadat Fardu ‘Ain serta memahami sumbangan Fardu Kifayah sebagai kewajipan umat Islam menyumbang kepada kemajuan hidup di dunia dan di akhirat.

6. Memahami dan mengambil iktibar daripada sirah nabawiyah, khulafa’al-rasyidin, dan tokoh-tokoh Islam sebagai asas pembentukan dan pembangunan insan yang cinta dan menyumbang ke arah pembangunan tamadun bangsa dan negara.

7. Berakhlak mulia dan mengamalkan nilai-nilai murni sebagai tunggak budaya bangsa yang bermaruah.
8. Membaca dan menulis Jawi melalui penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam sebagai warisan amalan budaya bangsa akan terus diperkukuhkan.


KANDUNGAN KURIKULUM

Kandungan Kurikulum Pendidikan Islam ini dibahagi kepada tiga bidang pembelajaran. Peruntukan waktu Pendidikan Islam ialah sebanyak enam waktu (3+1+2) di peringkat sekolah menengah rendah dan empat waktu (3+1) di peringkat sekolah menengah atas. Peruntukan waktu amali solat perlu di isi dengan solat berjemaah dan tazkirah yang berkaitan dengan kehendak sukatan pelajaran. Manakala peruntukan dua waktu tambahan perlu digunakan untuk aktiviti-aktiviti memperkukuhkan penyampaian objektif kurikulum Pendidikan Islam.

1. Bidang Pembelajaran Tilawah al-Quran dan Hadis:

Bidang Pembelajaran Tilawah al-Quran dan Hadis menumpukan perkara-perkara berikut :-

1.2 Membaca ayat-ayat al-Quran mengikut hukum-hukum tajwid yang betul dan fasih.

1.3 Menghafaz ayat-ayat al-Quran yang terpilih mengikut hukum-hukum tajwid yang betul dan fasih.

1.4 Memahami pengertian dan hikmah ayat-ayat tertentu dan hadis-hadis pilihan.

1.5 Memahami serta menghayati pengajaran al-Quran dan Hadis sebagai sumber hukum.

2. Bidang Pembelajaran ‘Ulum Syar‘iyah

Bidang Pembelajaran ‘Ulum Syar‘iyah menumpukan perkara-perkara berikut :-

2.1 Pemantapan akidah menerusi peneguhan Iman, pemupukan sikap,tanggungjawab pelajar sebagai manusia yang sedar dan insaf akan kedudukannya terhadap Allah s.w.t diri sendiri, alam sekitar,masyarakat dan negara.

2.2 Penghayatan ibadah menerusi pengetahuan dan pemahaman tentang peraturan dan disiplin ibadah yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t serta melakukannya.
2.3 Memahami peranan Fardu ‘Ain dan Fardu Kifayah sebagai ibadah yang diperlukan untuk pembangunan diri dan negara ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

2.4 Meneladani sirah Rasulullah s.a.w dan tamadun Islam iaitu dengan mengetahui mencontohi dan membangunkan kembali keagungan tamadun Islam.

3. Bidang Pembelajaran Adab Berteraskan Akhlak Islamiah 

Bidang pembelajaran Adab berteraskan Akhlak Islamiah diajar khusus dalam bidang Akhlak Islamiah. Adab yang telah diperolehi dan diamalkan di peringkat sekolah rendah dipertingkatkan lagi di sekolah menengah. Adab ini berdasarkan cara hidup muslim dalam hubungannya dengan Allah s.w.t, diri sendiri, keluarga, alam sekitar, masyarakat dan negara. Kandungan Kurikulum ini digubal untuk memenuhi keperluan setiap muslim dari segi fardu Kifayah bagi mencapai Kebahagiaan di dunia dan akhirat, bersesuaian dengan peringkat dan keupayaan pelajar sekolah menengah.